Al Manna & Tayebat

Al Manna & Tayebat

Sunday 26 October 2014

KONSEP PERUBATAN ISLAM

Konsep Perubatan Islam

Sebenarnya, perubatan cara Islam bukanlah satu bidang perubatan khusus seperti kaedah alopathy, ayurvedic atau homeopathy. Ia lebih merupakan konsep perubatan yang menepati ciri-ciri perundangan Islam.

Sesuatu bidang perubatan boleh dikira berkonsepkan perubatan Islam apabila mempunyai ciri-ciri seperti di bawah:

 

Ciri-Ciri Perubatan Islam


1. Merawat penyakit menggunakan Al-Quran dan Doa (Ruqayyah) 

Perubatan berkonsepkan Islam menjadi lebih nyata dan ketara apabila si perawat menggunakan Al-Quran dan doa-doa yang diwariskan oleh nabi Muhammad (s.a.w) di dalam rawatannya. Sebenarnya penggunaan ayat-ayat Al-Quran di dalam merawat pesakit ada disarankan di dalam Al-Quran seperti maksud ayat ini: "Dan kami turunkan sebahagian dari Al-Quran (ayat-ayat) sebagai penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Isra 18)"


 

2. Mengakui penyakit dan kesembuhan adalah datangnya dari Tuhan maha pencipta.

Penyakit datangnya dari Allah untuk menguji keimanan hamba-hambanya. Di dalam Al-Quran, Allah menyatakan kepada kita dengan jelas bahawa Dia menguji keimanan Nabi Ayub dengan mendatangkan satu penyakit kulit yang ganjil untuk menguji keimanan beliau. Mengikut sesetengah tafsir, Iblis laknatullah mencabar Allah (s.w.t) untuk menguji keimanan Nabi Ayub dengan kesengsaraan kerana pada pandangan Iblis, Nabi Ayub beriman kerana dia telah dianugerahkan Allah dengan kesihatan yang baik dan rezeki yang banyak. Iblis berhujah sekiranya Allah menjadikannya miskin dan sakit, nescaya Nabi Ayub akan marah dan kufur kepada Allah (s.w.t). Ternyata dakwaan Iblis melesit sama sekali. Keimanan Nabi Ayub menjadi semakin hebat dengan ujian tersebut.

Di dalam Al Quran Allah ada berfirman "Apabila aku sakit, Allah yang menyembuhkan". Ini adalah dalil yang cukup kuat menunjukkan bahawa Allahlah yang menyembuhkan segala penyakit. Rawatan dan ubat-ubatan yang kita ambil hanyalah sebagai ikhtiar secara zahir yang dituntut oleh Allah untuk kita lakukan. Namun hakikatnya, Allah jualah yang menyembuhkan penyakit kita.

 

3. Mengakui setiap penyakit ada ubatnya melainkan maut.

Nabi Muhammad (s.a.w) ada bersabda yang membawa maksud "Setiap penyakit ada ubatnya" dan "Tetaplah (amalkanlah) kamu dengan habbatus sauda (Nigella Sativa) kerana di dalam terdapat penyembuh bagi segala penyakit kecuali maut".

Hadith-hadith di atas membawa maksud setiap penyakit boleh dirawat sehingga sembuh, tak kiralah samada ianya HIV, kanser, H1N1 atau apa-apa jenis penyakit sekalipun. Mereka yang berpendapat bahawa penyakit kanser tidak ada penawar sebenarnya tidak berpegang kepada konsep perubatan Islam. Orang-orang yang sebegini akan mudah berputus asa, menyebabkan syaitan-syaitan dengan mudah dapat menguasai mereka. Kehadiran syaitan di dalam tubuh badan mereka akan menyebabkan penyakit mereka akan menjadi bertambah parah.

 

4. Kaedah rawatan dan perubatan mestilah tidak bercanggah dengan hukum-hukum asas Islam (syariat).

Kaedah rawatan penyakit paling biasa diamalkan di kalangan masyarakat tradisional Melayu ialah menyeru semangat-semangat dan ruh-ruh orang yang telah mati bagi memohon menyembuhkan sesuatu penyakit. Kaedah ini amat jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang menyuruh kita memohon kesembuhan dari Allah s.w.t. Kaedah lain yang diamalkan, juga bertentangan dengan ajaran Islam ialah merawat penyakit dengan menggunakan pertolongan makhluk halus yang dipanggil dengan pelbagai gelaran seperti orang bunian, jin dan sebagainya.

Juga tidak dikatakan mengikut perundangan Islam apabila ubat-ubatan yang digunakan adalah tidak halal atau halal tetapi tidak baik (syubhah). Ubat-ubatan yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada tubuh badan seperti dadah tidak mendapat tempat dalam rawatan Islam. Ia boleh digunakan untuk jangka masa pendek atau dalam keadaan darurat sahaja. Umum mengetahui kesan negatif dadah terhadap tubuh manusia amatlah menjengkelkan.

 

Mengapa Manusia Sakit

 

1. Sudut pandangan agama

Manusia sakit dan berpenyakit kerana Allah mahu menguji tahap keimanan mereka. Ujian dalam bentuk penyakit bertujuan untuk menilai tahap keimanan dan keyakinan seseorang kepada Penciptanya. Selain dari itu, Allah menjadikan seseorang itu sakit untuk membersihkan dosa-dosanya dan menaikkan darjatnya di sisi Allah. Ini juga dikenali sebagai kifarah (hukuman) yang mempunyai tujuan baik.

Bagi mereka yang tinggi darjat keimanannya, mereka melihat dan menerima penyakit dengan hati yang lapang dan gembira, kerana mereka yakin yang datang itu adalah rahmat Allah dan bukannya hukuman. Allah telah membukakan hijab pandangan mereka sehingga mereka nampak perkara-perkara yang tersirat yang baik di sebalik penyakit yang mendatang.

 

2. Sudut pandangan zahir

Manusia sakit dan berpenyakit disebabkan oleh kegagalan organ-organ tubuh badan menjalankan tugas mereka dengan betul. Organ-organ tubuh badan boleh gagal berfungsi disebabkan oleh kerosakan yang berlaku pada organ-organ tersebut. Sebagai contoh, seseorang boleh mendapat penyakit kencing manis apabila organ pankreas-nya gagal mengeluarkan insulin.

Kegagalan organ-organ tubuh badan dalam menjalankan fungsi-fungsinya adalah disebabkan oleh faktor-faktor persekitaran dan tabiat (lifestyle) hidup manusia. Keadaan persekitaran yang kotor dan pencemaran udara boleh menyababkan kuman-kuman dan bahan-bahan beracun masuk ke dalam badan kita dengan kuantiti yang banyak pada satu-satu masa, menyebabkan sistem immune tubuh badan kita tidak berupaya menangkisnya. Kuman dan bahan-bahan beracun ini, apabila masuk ke dalam tubuh melalui peredaran darah, akan menyerang organ-organ tubuh dan menyebabkan organ-organ tubuh cedera. Kecederaan ini menyebabkan organ-organ tubuh tidak dapat beroperasi secara optimal. Keadaan ini jika dibiarkan berlarutan berkemungkinan besar akan menyebabkan kecacatan kekal kepada organ dan boleh menyebabkan kematian.


sumber : https://sites.google.com/site/usanapot/konsep-perubatan-islam

No comments:

Post a Comment